1 Disember 2016 - 15:24
Laporan PBB Beri Amaran Tentang Kemunculan 'Arab Spring' Yang Baharu.

Sebuah laporan yang dikeluarkan oleh PBB telah memberikan amaran kepada pihak berkenaan dengan mengatakan bahawa 'Arab Spring' yang baru mungkin akan tercetus ekoran kesukaran golongan muda di negara-negara Arab untuk mencari pekerjaan dan kedudukan di dalam masyarakat.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sebuah laporan yang dikeluarkan oleh PBB telah memberikan amaran kepada pihak berkenaan dengan mengatakan bahawa 'Arab Spring' yang baru mungkin akan tercetus ekoran kesukaran golongan muda di negara-negara Arab untuk mencari pekerjaan dan kedudukan di dalam masyarakat. Golongan ini dikhuatiri akan memilih saluran yang lebih ganas untuk memastikan suara mereka didengari.

Laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Pembangunan Program Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) mendesak kerajaan-kerajaan Arab untuk mengambil 'peluang bersejarah' yang tercipta oleh kewujudan generasi baru yang berpendidikan tinggi serta berfikiran moden untuk mengelakkan berlakunya protes-protes yang pernah disaksikan oleh masyarakat dunia pada enam tahun yang lalu. Protes-protes yang menjatuhkan beberapa kerajaan Arab pada masa itu dan mewujudkan kekacauan yang kesannya masih kelihatan jelas pada hari ini dikenali sebagai 'Arab Spring'.

Laporan itu juga menunjukkan kadar pengangguran yang tinggi di negara-negara Arab iaitu sebanyak 30 peratus. Peratusan itu adalah 2 kali ganda lebih tinggi daripada kadar purata dunia iaitu 14 peratus. Di dalam laporan yang sama, terdapat fakta yang menunjukkan bahawa hampir separuh daripada golongan wanita muda yang mencari pekerjaan di negara-negara tersebut menemui kegagalan di dalam usaha mereka.

Menurut laporan yang sama, negara-negara Arab perlu mencipta sebanyak 60 juta peluang pekerjaan menjelang tahun 2020 sambil menambah bahawa ekonomi-ekonomi mereka tidak mempunyai kekuatan untuk melakukan perkara tersebut.

Arab Saudi dan sekutunya di rantau teluk sedang berhadapan dengan masalah ekonomi yang teruk memandangkan kempen mereka di Yaman telah memberikan kesan yang negatif terhadap kewangan mereka.